Animated School Pencil Pendidikan Pemulihan: KEPERLUAN PELAKSANAAN PROGRAM PEMULIHAN

KEPERLUAN PELAKSANAAN PROGRAM PEMULIHAN


Matlamat dan Objektif Pelaksanaan Program Pemulihan
Matlamat utama pelaksanaan program pemulihan di Sekolah Rendah adalah untuk memastikan semua murid dapat menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira.Dengan mengikuti program pendidikan pemulihan, murid-murid pemulihan belajar supaya dapat menguasai kemahiran asas 3M dan seterusnya dapat memneruskan pembelajaran di kelas biasa dan keyakinan diri dibina serta sentiasa bersikap positif terhadap pembelajaran.
Dengan kata lain, pengajaran pendidikan pemulihan adalah untuk memastikan semua murid Tahap 1 dapat menguasai kemahiran asas 3M seperti yang terdapat dalam buku GarisPanduan Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia lebih menjurus kepada memenuhi keperluan murid-murid yang gagal mengikuti prosespengajaran dan pembelajaran dalam kelas biasa. Dengan kata lain, semua murid Tahap 1 harus mampu menguasai kemahiran asas 3M.
Setelah menguasai kemahiran asas tersebut, murid-murid yang lemah ini akan dapat meneruskan pembelajaran mereka di kelas biasa. Mereka dapat bersaing dengan rakan mereka bagi mencapai tahap kompetensi yang terbaik.Di dalam kelas biasa ini mereka perlu dibantu oleh guru-guru mata pelajaran dan rakan sebaya mereka bagi mengekalkan tahap pencapaian penguasaan kemahiran asas. Keupayaan mereka menguasai kemahiran asas 3M akan mengurangkan kritikan masyarakat terhadap guru, pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia amnya.
Di samping itu, program pendidikan pemulihan juga bertujuan untukmembina keyakinan diri dan positif murid-murid pemulihan terhadap pembelajaran.Murid-murid pemulihan ini perlu diberi motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri terhadap kebolehan dan bakat yang mereka miliki. Apabila keyakinan diri berjaya ditingkatkan, secara tidak langsung murid-murid pemulihan ini akan dapat mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M. Tambahan pula, ia juga boleh menggalakkan perkembangan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke tahap yang lebih maju.
Program pendidikan pemulihan juga bertujuan untuk mengurangkan bebanan masalah yang dihadapi oleh murid-murid lemah dengan bantuan guru dan pihak-pihak yang berkaitan seperti guru kelas, guru mata pelajaran, guru pemulihan khas, ibu bapa, dan komuniti setempat. Bebanan masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan ini akan dapat diatasi seandainya setiap pihak mempunyai jaringan kerjasama yang jitu antara satu sama lain dan memberi komitmen yang tinggi bagi mencapai hasrat semua pihak.
Melalui program pendidikan pemulihan, murid-murid yang lemah jugaberpeluang untuk mendapat hak yang sama seperti yang dinikmati oleh rakan-rakansebaya dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial sama ada di dalam dan di luar bilik darjah. Kegagalan murid untuk turut serta dalam aktiviti sosial di sekolah mereka dengan sendirinya dapat diatasi setelah mereka melalui program pendidikan pemulihan khas di sekolah. Justeru itu, murid-murid pemulihan ini akanmendapat layanan dan kemudahan yang sesuai dengan tahap kebolehan mental mereka tanpa wujudnya kecurigaan dan kebimbangan oleh pihak-pihak tertentu. Dengan itu, hasrat pihak Kementerian Pelajaran Malaysiaakan tercapai bagi mengatasimasalah disiplin yang ditimbulkan oleh murid-murid yang tercicir ini.
       Tujuan Pelaksanaan Program Pemulihan
               Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap 1 Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama program pemulihan dilaksanakan adalah untuk membantu murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, membantu murid mengubah sikap yang negative dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran, dan memupuk, mengembangkan sikap keyakinan diri, dan sikap positif murid terhadap pembelajaran.
Menurut Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk menyingkirkan tabiat dan sikap murid yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan, mengajar murid buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang seharusnya dipelajari.Tabiat, kemahiran, dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid. Dengan erti lain, pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan kedua ialah untuk membentuk tabiat baik yang belum ada pada murid itu.
Tambahan pula, pelaksanaan program pemulihan juga bertujuan supaya jurang perbezaan pencapaian di antara murid dapat dikecilkan serta membantu murid pemulihan supaya mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa. Menurut Buku Panduan Am KBSR (1982), program pemulihan merujuk kepada setiap murid adalah berbeza antara satu dengan lain sama ada dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, kecenderungan, bakat dan kebolehannya. Perbezaan individu ini perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam usaha merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Menurut Ab. Rahman, et. al. (1997), dalam konteks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), program pemulihan merupakan langkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).Mereka ini kemudiannya diberikan program pemulihan sebaik-baik sahaja masalah mereka dapat dikesan dan dikenal pasti.

Kid

Kid